الجمعة، آب ٢٤، ٢٠٠٧

Hubungan Dengan Allah (HDA)

Bismillahir rahmanir rahim...

Assalamu'alaikum buat semua saudara-saudaraku se'aqeedah...

Segala rasa syukur kehadrat Ilahi di atas anugerahNya yang tidak terhitung bilangannya. Ni'mat terus dicurahkan walaupun hamba ini sering mengingkari suruhan dan laranganNya. Hati tidak pernah henti berbolak-balik. Sering sahaja ia menoleh ke kiri, sedangkan tarikan yang mempesonakan itu hanyalah fatamorgana. Tetapi Dia memang sayang dan kasih kepada hamba ini. Keinsafan untuk berubah kerap hadir menyapa hati yang leka. Alhamdulillah, semoga keinsafan dan kesedaran ini terus bersemi di sanubari. Lalu muncul buah-buah keimanan yang memukau dan menggugah jiwa. Lantas merubah realiti dunia. Ini bukan angan-angan. Tetapi impian dan cita-cita yang terbukti telah menjadi kenyataan.

Selawat dan salam ke atas Rasul Sallahu 'alaihi wasallam tercinta, yang telah menabur benih-benih keimanan yang subur. Ia membesar lalu berkembang biak dengan begitu banyak tanpa mengenal penat dan lelah. Semoga kita bersama kekasih Allah di dalam meneladani baginda dalam setiap tindakan, tingkah laku dan gaya hidupnya.

Saudaraku,

Benarkah kita seorang mukmin? Sedangkan kita tidak mengendahkan diri kita yang sentiasa di bawah pemerhatian Tuhan kita.

Benarkah kita takut akan diseksa? Tatkala kita seronok mengingkari perintahNya yang berupa suruhan dan larangan?

Benarkah kita mengharapkan rahmat dan redhaNya? Walhal kita sibuk dengan kegiatan duniawi yang menghalang, melalaikan serta menjauhkan kita daripada kekhusyu'kan solat.

Benarkah kita mencintaiNya sepenuh jiwa raga? Sedangkan kita masih kedekut lagi maha bakhil untuk mengorbankan dan menyerahkan masa, tenaga dan harta kita di jalanNya. Bukankah cinta itu buta?

Di manakah rasa khauf (takut), rajaa (pengaharapan), serta hubb (cinta) yang sering kau dengari dan ungkapkan dalam bicaramu?

Diri ini bukanlah insan yang terbaik. Peringatan ini untuk mendorong diri ini serta teman-teman yang membaca agar merenung diri, melihat kesilapan dan kesalahan masa lalu, mengenal potensi diri serta mengetahui musuh-musuh dan cabaran-cabaran yang menghalang perjalanan menemui redhaNya. Mudah-mudahan kita sentiasa istiqamah dan thabat di atas jalan menuju kematian, yang hakikatnya suatu keabadian. Jadilah pendokong, bukan sekadar penyokong. Rebutlah peluang untuk beramal selagi mana hayat ini. Jangan biarkan diri menemuiNya dalam keadaan papa kedana.

Ya Allah, kami tahu diri kami lemah. Maka kau berikanlah kekuatan kepada kami dalam mencari redhaMu.

Wallahu musta'aan.

الخميس، تموز ١٩، ٢٠٠٧

Di Manakah Kita?

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamualaikum warahmatuLLahi wabarakatuh…

Segala puja dan puji kita panjatkan kehadrat Ilahi di atas ni’mat iman dan islam yang terhingga ini, juga ke atas ni’mat-ni’mat lain yang tidak terhitung banyaknya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad RasuluLLah-penghulu segala rasul, mukminin dan solehin- keluarga baginda, para sahabat, tabi’een, tabi’ tabi’een serta para pejuang yang berjuang menegakkan panji syahadah sepanjang hayat kehidupan di muka bumi ini.

Amma ba’du,

Kehidupan sebagai muslim dai’ ilaLLah bukan sekadar hidup untuk menjadi insan soleh, malahan menjadi musleh serta nafi’un li ghairih. Mana mungkin seorang muslim duduk bersenang-lenang dengan kereta mewahnya, mahligai idamannya, tanpa mengendahkan masyarakat di sekelilingnya yang semakin hari semakin jauh daripada Deen Allah Subhanahu wa ta’ala. Barangkali da’i yang sedemikaan rupa telah melupai matlamat dan kerja-kerjanya sebenar. Sekiranya, kesenangan yang dikecapi itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempertahankan serta memperjuangkan deen ini. Bukankah dai’ yang diberikan Allah Ta’ala kesenangan dunia yang melimpah ruah itu betanggungjawab menunaikan zakat, menghulurkan sedekah kepada golongan yang memerlukan serta menginfaqkannya fi sabiliLLah...?

Di manakah kedudukan kita, wahai sahabat-sahabatku yang ku kasihi...?

Adakah kita menghulurkan tangan memberi bantuan di saat saudara-saudara kita memerlukan...?

Di manakah kita, di saat saudara-saudara kita yang mengorbankan masa dan tenaga mereka untuk memakmurkan dakwah islamiyah, sedangkan mereka tidak mampu menyara kaum keluarga mereka...?

Di manakah kita, di saat sahabat kita yang selama ini menghabiskan kehidupannya dengan dakwah sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir, sedangkan dia tidak meninggalkan buat isteri dan anak-anaknya harta peninggalan melainkan mandat dakwah ini...?

Di manakah kita, di saat anak-anak kita menghabiskan zaman kanak-kanak dan remaja mereka dengan belaian dan sogokan hiburan-hiburan yang melalaikan dan merosakkan...?

Di manakah kita, di saat pemuda-pemuda kita di menara gading dihanyutkan dengan budaya peradaban barat yang mengalir deras bak tsunami yang menimpa Banda Acheh...?

Wahai Saudara, Bangkitlah dari tidurmu! Ganjaran syurga serta ni’mat-ni’mat yang tiada taranya sedang menanti anda di alam barzakh dan akhiratmu... Tidakkah kau mendengar dan membaca janji-janji Allah terhadap orang-orang mukmin yang berjuang di jalanNya? Kehidupan mereka mulia. Mati mereka adalah syahid.
Ayuh, saudara! Maju terus, jangan bermalas-malasan lagi!

الأربعاء، أيار ٣٠، ٢٠٠٧

'Amal Qowi dan 'Amal Dho'if

BismiLLahirRahmanirRahim...

Alhamdulillah..WasSolatuwasSalamu 'ala rasuliLLah wa 'ala aalihi wasohbihi wa manittaba'aLHuda...saya bukanlah orang yang paling layak untuk memperkatakan perkara ini. Malah, hanya sekadar memberi pandangan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang amat sedikit ini. Wallahu a'lam.

Teman-teman sering memperkatakan perkara ini. 'Amal Qowi dan 'Amal Dho'if... mungkin diungkapkan secara 'am "Penyebaran dan pembinaan kefahaman serta kesedaran Islam yg benar, dan mewujudkan peribadi yang bisa membawa kerja-kerja DnT"

Jadi, sebarang kerja yang berkaitan dengan perkara di atas adalah 'amal qowi. Cuma di sana ada prioriti atau keutamaan... Ya, memang benar. Di dalam 'amal qowi juga ada prioriti. Yang diutamakan adalah perancangan sesuatu organisasi, dari segi matlamat jauh dan dekat. Sekiranya anda di sekolah, maka tugas anda adalah mendidik adik-adik atau anak-anak murid memahami Islam dgn fahaman yg sohih, serta mencari dan mengasuh peribadi2 yg bisa menggerakkan DnT. Itu satu kerja yang amat besar. Walaupun ramai orang melihatnya kecil serta lambat. Tidakkah ada melihat, anak kecil pasti membesar. Dulunya berseluar biru. Kemudian hijau. Seterusnya menuju ke menara gading, bekerja dan lain-lain lagi. Mereka yang mengikuti proses ini akan terus berkembang dan meningkat kefahaman dan jati diri, sekiranya istiqomah dalam proses ini.

Di dalam DnT, kita perlu berusaha mewujudkan 10 sifat-sifat atau ciri-ciri peribadi muslim yang di tuntut. Aqidah yang benar, ibadah yang sohih, menjaga masa, bermanfaat kepada orang lain, berpengetahuan luas, bisa mencari rezeki dan lain-lain lagi. (Saya tidak ingat keseluruhannya. Anda boleh rujuk di dalam buku-buku yang banyak di pasaran atau bertanya kepada yang lebih mengetahui).

Kemudian di sana ada pelatihan dalam menyampaikan kefahaman, melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Di dalam aktiviti-aktiviti tersebut, kita bergaul dengan masyarakat sekitar dengan akhlak islam, serta hidup bersama mereka. Memahami susah senang mereka. Memberi bantuan kepada mereka. Melalui proses ini, berlakunya perluasan skop DnT. Jika ada di sekolah, bermakna skop DnT anda yang seterusnya adalah masyarakat di sekeliling sekolah tersebut. Bagaimana bisa dikatakan da'ie jika hanya duduk berkurung sesama sendiri, serta melupakan orang lain yang sebenarnya menantikan pembimbing yang bisa membimbing mereka.

Apa yang penting di sini, anda kena ingat kerja-kerja ini memakan masa. "Waktu itu sebahagian daripada pengubatan dan pemulihan". Anak kecil tidak bisa besar dalam sekelip mata. Ia perlu melalui proses.

Oleh yang demikian, kita jangan merasakan kerja-kerja ini tidak bermanfaat atau kurang bermanfaat. Apa yang perlu ialah kesabaran dan istiqomah. Buah tidak enak dipetik sebelum ia masak ranum. Bukankah keenakan buah durian yang gugur jatuh ke bumi (setelah melalui proses tumbesaran) amat berbeza dengan durian yang dipetik sebelum ia benar-benar masak?

Itu sahaja yang dapat saya ungkapkan di sini. Barangkali di sana ada lagi perkara-perkara penting yang saya cuai atau lalai dalam menyampaikannya. Mudah-mudahan, di sana ada teman-taman yang sudi melengkapkan apa yang kurang, serta menambah apa yang patut. Agar faedahnya kita berkongsi bersama.

Wallahu a'lam...

الثلاثاء، أيار ١٥، ٢٠٠٧

Syumuliyatul Islam

Ma'rifatul Islam

Syumuliyatul Islam ( Kesempurnaan Islam )


A.Tujuan Materi
1.Memahami gambaran menyeluruh dari Islam sebagai asas (pokok), bina bangunan), maupun muayyidat (penyangga) dengan hubungan-hubungannya.
2. Dapat menyebutkan contoh-contoh penyelesaian aktual secara Islam dalam bidang kehidupan bermasyarakat.
3. Menyadari bahwa Islam merupakan sistem hidup yang lengkap dan sempurna sehingga termotivasi untuk memasukinya secara keseluruhan.

B.Kisi-kisi Materi
1. Kesempurnaan Islam (QS. 2:208 )
2. Sempurna dalam waktu:
•Risalah yang satu (QS. 21:90 , 34:28 , 21:107 )
•Penurup para nabi (QS. 33:42 )
3. Kesempurnaan minhaj:
•Asas: akidah (syahadat dan rukun iman)
•Bangunan Islam: ibadah: rukun Islam, shalat, puasa, zakat, haji, akhlak
•Penyokong /penguat: jihad (QS. 29:6 dan 69 , 47:31 ) atau amar ma'ruf nahi munkar (QS. 3:104 , 7:99 , 9:112 ) da'wah (QS. 16:125 , 41:33 )
4. Sempurna dalam tempat (QS. 22:40 ):
•Satunya pencipta (QS. 2:163 , 164 )
•Satunya alam (QS. 2:29 , 67:15 )
•Manhaj (pedoman) hidup

Sumber: Download Materi Tarbiyah E-Book http://www.eraintermedia.com

الثلاثاء، أيار ٠٨، ٢٠٠٧

MeNeRuSKaN LaNgKaH...

BismiLLahir Rahmanir Rahim...

Rumah tangga muslim merupakan suatu tahap dan lanjutan daripada peribadi muslim. Di mana baitul muslim ini dibina atas dasar Iman dan Islam. Bagi da'ie, ia adalah Baitud Da'wah, kerana melaluinya berlakulah 'amaliyyah taurithud da'wah (perwarisan da'wah). Bahkan baitnya menjadi salah satu kekuatan yang menyokong da'wahnya.

Tidakkah kita melihat Rasulullah SallaLLahu 'alaihi wasallam? Begitu agungnya perngorbanan dan sokongan yang diberikan oleh Sayyidah Khadijah. Beliau menjadi tulang belakang da'wah baginda tatkala baginda dihina, dicaci, dan dibenci oleh kuffar Quraisy. Begitu besarnya peranan isteri serta keluarga bagi seorang da'ie.

Silalah anda baca artikel ini:

Moga kita terus melangkah menuju ridho Ilahi dengan meneruskan tahapan pembinaan ummah melalui pernikahan yang dibina atas jalan da'wah.

Sudahkah anda bersedia?
BismiLLahi, tawakkalna 'alaLLah...

الخميس، نيسان ١٢، ٢٠٠٧

Satu Pandangan

BismiLLahiRRahmaniRRahim..

Dakwah kepada Islam (Ad-Da’wah Ilal Islam) merupakan suatu kefardhuan yang dilupakan. Kebanyakan umat Islam hari ini melupai tanggungjawab ini. Ia menjadi suatu kerja yang amat penting pada saat ini, apabila kedaulatan Islam disanggah, syariat Islam tidak ditegakkan. Manusia semakin melupai PenciptaNya. Semakin jahil dan jauh daripada kebenaran.

Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata: “Sungguh, aku termasuk oramg-orang muslim (yang berserah diri)?”
(Fussilat 41:33)

Katakanlah (Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku, megajak (kamu) kepada Allah dengan yakin, Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik.”
(Yusuf 12:108)

Para da’ie ilaLLAh dituntut melaksanakan kerja-kerja ini secara jama’ie (‘amal jama’ie).

Dan hendaklah ada di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.
(Ali ‘Imran 3:104)

..Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan...
(Al-Maidah 5:2)

Musuh-musuh Islam pada hari ini berbondong-bondong, bekerja siang malam, untuk merosakkan Islam serta penganutnya. Mereka bekerja bersungguh-sungguh di atas desakan duniawi dan hawa nafsu.

Bagaimana pula ummat Islam? Sedarkah mereka semua ini? Adakah golongan manusia yang menganggap dirinya da’ie, yang masih bercakaran sesama sendiri, sedar akan situasi ini? Cuba kita renungkan. Lihat dengan mata hati. Fikir dengan tenang. Rasainya dengan perasaan kasih-sayang kerana Allah.

Sekarang kita lihat pada skop yang agak kecil, tanah air kita Malaysia - bagi muslim tanah airnya semua tanah yang berpijak padanya muslim. Alhamdulillah, Allah masih campakkan di dalam hati orang-orang kita peraasan sayang kepada Islam. Mereka – moga kita tergolong daripada mereka – bekerja untuk mengajak manusia kepada Islam. Maka wujudlah berbagai organisasi. Kepelbagaian organisasi ini telah memberikan suatu kesan yang agak ketara dalam medan dakwah Malaysia. Daripadanya lahirlah perbezaan pendapat dalam sesuatu perkara, tindakan dan pendirian. Keadaan ini berlaku hasil dari perbezaan tahap keilmuan dan kefahaman di dalam sesuatu perkara. Ia juga lahir dari fitrah manusia yang diciptakan berbeza-beza serta serba kekurangan.

Inilah ujian buat kita. Kepelbagaian organisasi ini menjadi suatu yang indah apabila wujunya sikap hormat-menghormati atas dasar keimanan dan kasih-sayang. Ia ni’mat apabila sikap saling bantu-membantu, lengkap-melengkapi, nasihat-menasihati atas dasar ISLAM menjadi amalan anggota-anggota, pendiri-pendiri, serta kader-kader da’wah.

Sikap ini lahir melalui keimanan yang jitu, keikhlasan yang tulen serta kefahaman dan ilmu yang benar berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Wahai orang-orang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulil amri (pemegang kuasa) di antar kamu. Kemudian, jika kamu berbeda pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu, lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.
(An-Nisa 4:59)

Sememangnya kita mengimpikan kesatuan ummat Islam di bawah kepimpinan yang satu. Keadaan tidak akan wujud selagi kita tidak mengamalkan sikap yang dituntut ini. Oleh yang demikian, marilah kita berusaha mendalami, mengkaji dan memahami Al-Quran dan As-Sunnah, serta ilmu-ilmu keislaman yang lain. Di samping kita tuluskan niat dan beramal dengan ilmu-ilmu ini. Mudah-mudahan Allah Subahanahu wa ta’ala menyatukan hati-hati kita, apabila kita bergantung dan sentiasa berhubung denganNya, mengingatiNya tanpa jemu, tak putus-putus memohon Rahmah dan RedhoNya. Kita selamilah Do’a Rabitah. Kita membacanya dengan mengingati saudara-saudara kita di seluruh pelusuk dunia.

Wallahu a’lam.

السبت، آذار ١٧، ٢٠٠٧

MaSaLaH & PeNyELeSAiaN

Banyak sungguh masalah manusia hari ini. Ditoleh ke kiri nampak si A. Ditoleh ke kanan muncul si B. Maju setapak amat berat. Undur, jangan sekali! Akhirnya ku dongak ke langit. Ya, di situ penyelesaiannya. Dari langit, ku selami sanubari. Lautan penyelesaian kurenangi.

Sungguh manusia gigih mencari penyelesaian. Benarkah penyelesaian itu suatu penyelesaian yang pasti? Yang pasti akan menyelesaikan masalah dari akar umbinya, bukan sekadar mencantas dedaun dan buahnya yang berduri? Adakah racun yang mendatangkan penyakit itu hanya berpunca dari racun yang disembur pada dedaun semata? Atau racun itu lahir dari tanah yang menyebabkan penyakit itu berakar umbi dan sebati dengan jasad dan jiwa pohon itu? Persoalan ini sewajarnya muncul di benak sanubari insan yang sedar akan situasi umatnya.

Cuba kita fikir. Kita andaikan; siapakah racun? Hebatkah racun itu? Adakah racun itu hasil penemuan terbaru umat manusia? Aidskah ia? Kanserkah ia? Fikir dan soal.

Akhirnya, kau pasti temui identitinya. Ia jelas dan nyata. Ubatnya amatlah mujarab lagi ma'ruf, bagai gajah di depan mata, bukan semut di seberang lautan. Nah! Bukalah helaian-helaian suci itu. Perhatikan kalam-kalam langit itu. Renungi ungkapan-ungkapan abadi itu. Pasti kau kan temui jawapannya!

Rabbana a~tina fiddunya hasanah, wa fil A~khirati hasanah, wa qina 'azabannar....

الجمعة، آذار ٠٢، ٢٠٠٧

BiLa DaHi BeRtEmU sEjAdAh

BILA DAHI BERTEMU SEJADAH,
TERASA KASIHNYA YANG MAHA ESA,
DALAM SUJUD KEHENINGAN PAGI,
MENAGIH KEAMPUNAN ILAHI..

BILA DAHI BERTEMU SEJADAH,
MENGIMBAU AKAN DOSA DAN NODA,
ADAKAH MASIH ADA PELUANG UNTUKKU,
KEMBALI KE JALANMU YA ALLAH...

BILA DAHI BERTEMU SEJADAH,
TERASA KERDILNYA DIRI,
LAHIR DARI SARIPATI YANG HINA,
MENGABDIKAN DIRI KEMBALI KE PANGKUANMU...

BILA DAHI BERTEMU SEJADAH,
HAMBAMU INI BERDOA KEPADAMU,
TETAPKANLAH IMAN HAMBAMU INI,
BERILAH PETUNJUKMU YANG AGUNG,
AGAR BISA DIRI INI TAAT KEPADAMU....

BILA DAHI BERTEMU SEJADAH,
HATI INI MERINTIH KEHINAAN,
MASIHKAH ADA JIHAD DALAM DIRIKU,
SAAT SAUDARAKU DIROBEK KEKEJAMAN,
ADAKAH AKU HANYA MAMPU MELIHAT....

SEBELUM DAHIKU BERTEMU SEJADAH,
SUJUD MENGHARAP KEAMPUNANMU,
HAMPARKANLAH NUR HIDAYAHMU,
LUNTURKANLAH KEHINAAN HAMBAMU INI,
AGAR BISA KU BERDIRI DIHADAPANMU KELAK,
DENGAN PENUH RASA BANGGA MENJADI HAMBAMU YANG KAMIL...........

sha_ox@yahoo.com

الثلاثاء، شباط ٠٦، ٢٠٠٧

TaNgiSaN

Palestina...
Lubnan...
Iraq...
Suriah..
Afghanistan...
Kasymir...
Moro...
Patani...
Indonesia...
Malaysia...
Negara Muslimin di seluruh pelusuk dunia...
Semuanya menangis...
Di manakah muslimin...?
Lenakah mereka...?
Sakitkah mereka...?
Waraskah mereka...?
Wujudkah mereka...?

Siapakah kita...?
Muslimkah kita...?

Sedarlah ...!
Bangkitlah...!
Carilah Islam yang telah hilang di celah kabus kekufuran...
Nun di sana fajar menyinsing...

الأحد، كانون الثاني ٢٨، ٢٠٠٧

Suka Duka

Bismillahirrahmanirrahim....

Dengan nama Yang Esa kita berbicara. Bermula dan berakhirnya segala sesuatu hanya padaNya.

Kegembiraan dan kesedihan mukmin adalah suka dan duka imani. Gembira kerana ber'amal dengan tuntutan iman. Sedih kerana keingkaran dan keengganan mematuhi suruhan dan menjauhi laranganNya. Senyuman imani, senyuman yang penuh makna dan keindahan ma'nawi. Air mata yang mengalir penuh keinsafan dan penghambaan di atas dosa dan noda.

Sedih...
Duka...
Sayu...
Perit...

Di manakah aku? Lelaki itu tertawa kegembiraan. Gadis di sisinya senyum keriangan. Berkongsi kegembiraan. Gembirakah mereka? Seronok benarkah mereka? Bunga-bunga kasih berkembang mekar. Harum semerbak. Benarkah semua ni? Inikah hakikat kehidupan?

Di manakah aku? Si ibu bersama anak-anak menangis kesedihan. Penuh kehibaan. Sedih kerana artis idola pujaan mereka tersingkir di peringkat akhir Juara Sorak Menyalak. Air mata mengalir tanpa henti kerana Si Hero kehilangan kekasihnya yang disayangi setelah bersusah payah mengharungi rintangan yang mengorbankan kesenangan dan kemewahan. Benarkah semua ini?

Sedarkah aku?
...??!

السبت، كانون الثاني ٠٦، ٢٠٠٧

SubHaNALLaH

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Salam buat sahabat-sahabat yang dikasihi,

Alhamdulillah, mari kita rafa'kan setinggi-tingi rasa syukur kehadrat Ilahi di atas ni'mahNya yang tak terhingga. Dia tetap terus memberi kita ni'mahNya yang tak bertepi walaupun kita sering mengingkari firmanNya. SubhanaLLAh… Maha Suci Allah… Yang sentiasa memberi peluang kepada hamba-hambaNya untuk kembali menta'atiNya. Pintu-pintu taubat yang sentiasa terbuka, menunggu kedatangan rintihan hamba yang pasrah memohon keampunan dan maghfirah… Cuma kita yang lalai dan alpa dengan ni'mah yang diberi; bukannya bersukur dan bertasbih memuji kebesaranNya serta beristighfar memohon maghfirah.

Lupakah kita suatu ketika dahulu kita ini tidak wujud sama sekali. Kita bukannya roh orang-orang zaman lampau yang berpindah dari satu zaman ke zaman yang lain. Kewujudan kita hanya bersandar kepadaNya. Kita berasal daripada Adam 'alaihissalam, yang berasal dari tanah. Suatu ketika di alam roh dulu kita pernah membuat perjanjian 'Aku Janji' padaNya untuk menta'ati firmanNya.

Wujudnya kita dari benih lelaki dan perempuan, dari air yang hina yang tidak bernilai. Hinanya kita. Tiada nilai. Tiada harga. Lemah. Dha'if. Apa lagi lafaz yang sesuai dengan kehinaan ini. Mulianya kita pabila "taat pada firman dan patuh pada sabda" menjadi nadi kehidupan kita.

Kita dibentuk dari air itu menjadi segumpal darah, kemudian seketul daging. Kemudian tulang-tulang yang selaputi daging sehingga berupa bentuk manusia yang dicipta Tuhan sebaik-baik ciptaan. Ni'mah yang diberikan kepada kita bermula dari awal penciptaan lagi, tapi kita lupa.

SubhanaLLah...

Kita dilahirkan bonda dengan penuh keperitan dan susah payah. Di kesempatan ini ku rakamkan lafaz jazakiLLahu khairan kathira buat bonda - yang bertarung nyawa melahirkan insan yang degil ini - mencurahkan segala mahabbah dan mawaddah; walaupun dibalas dengan bahasa kasar si anak. Si anak sering lupa pengorbanan ini semua, sering ingkar. Lupa redha ILAHI berkait dengan redha bonda. Kemaafanmu dan maghfirahNya kupohon. Semoga hidup diberkati dan diredhai ALLAH. Kutitipkan doa dan amalan soleh buatmu kerna itu yang mampu kuberikan, bukan kesenangan dunia yang diimpikan.

Semoga ALLAH menganugerahkanku kesabaran dan ketabahan para rasul dan auliya^.