الأحد، كانون الثاني ٢٨، ٢٠٠٧

Suka Duka

Bismillahirrahmanirrahim....

Dengan nama Yang Esa kita berbicara. Bermula dan berakhirnya segala sesuatu hanya padaNya.

Kegembiraan dan kesedihan mukmin adalah suka dan duka imani. Gembira kerana ber'amal dengan tuntutan iman. Sedih kerana keingkaran dan keengganan mematuhi suruhan dan menjauhi laranganNya. Senyuman imani, senyuman yang penuh makna dan keindahan ma'nawi. Air mata yang mengalir penuh keinsafan dan penghambaan di atas dosa dan noda.

Sedih...
Duka...
Sayu...
Perit...

Di manakah aku? Lelaki itu tertawa kegembiraan. Gadis di sisinya senyum keriangan. Berkongsi kegembiraan. Gembirakah mereka? Seronok benarkah mereka? Bunga-bunga kasih berkembang mekar. Harum semerbak. Benarkah semua ni? Inikah hakikat kehidupan?

Di manakah aku? Si ibu bersama anak-anak menangis kesedihan. Penuh kehibaan. Sedih kerana artis idola pujaan mereka tersingkir di peringkat akhir Juara Sorak Menyalak. Air mata mengalir tanpa henti kerana Si Hero kehilangan kekasihnya yang disayangi setelah bersusah payah mengharungi rintangan yang mengorbankan kesenangan dan kemewahan. Benarkah semua ini?

Sedarkah aku?
...??!

السبت، كانون الثاني ٠٦، ٢٠٠٧

SubHaNALLaH

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Salam buat sahabat-sahabat yang dikasihi,

Alhamdulillah, mari kita rafa'kan setinggi-tingi rasa syukur kehadrat Ilahi di atas ni'mahNya yang tak terhingga. Dia tetap terus memberi kita ni'mahNya yang tak bertepi walaupun kita sering mengingkari firmanNya. SubhanaLLAh… Maha Suci Allah… Yang sentiasa memberi peluang kepada hamba-hambaNya untuk kembali menta'atiNya. Pintu-pintu taubat yang sentiasa terbuka, menunggu kedatangan rintihan hamba yang pasrah memohon keampunan dan maghfirah… Cuma kita yang lalai dan alpa dengan ni'mah yang diberi; bukannya bersukur dan bertasbih memuji kebesaranNya serta beristighfar memohon maghfirah.

Lupakah kita suatu ketika dahulu kita ini tidak wujud sama sekali. Kita bukannya roh orang-orang zaman lampau yang berpindah dari satu zaman ke zaman yang lain. Kewujudan kita hanya bersandar kepadaNya. Kita berasal daripada Adam 'alaihissalam, yang berasal dari tanah. Suatu ketika di alam roh dulu kita pernah membuat perjanjian 'Aku Janji' padaNya untuk menta'ati firmanNya.

Wujudnya kita dari benih lelaki dan perempuan, dari air yang hina yang tidak bernilai. Hinanya kita. Tiada nilai. Tiada harga. Lemah. Dha'if. Apa lagi lafaz yang sesuai dengan kehinaan ini. Mulianya kita pabila "taat pada firman dan patuh pada sabda" menjadi nadi kehidupan kita.

Kita dibentuk dari air itu menjadi segumpal darah, kemudian seketul daging. Kemudian tulang-tulang yang selaputi daging sehingga berupa bentuk manusia yang dicipta Tuhan sebaik-baik ciptaan. Ni'mah yang diberikan kepada kita bermula dari awal penciptaan lagi, tapi kita lupa.

SubhanaLLah...

Kita dilahirkan bonda dengan penuh keperitan dan susah payah. Di kesempatan ini ku rakamkan lafaz jazakiLLahu khairan kathira buat bonda - yang bertarung nyawa melahirkan insan yang degil ini - mencurahkan segala mahabbah dan mawaddah; walaupun dibalas dengan bahasa kasar si anak. Si anak sering lupa pengorbanan ini semua, sering ingkar. Lupa redha ILAHI berkait dengan redha bonda. Kemaafanmu dan maghfirahNya kupohon. Semoga hidup diberkati dan diredhai ALLAH. Kutitipkan doa dan amalan soleh buatmu kerna itu yang mampu kuberikan, bukan kesenangan dunia yang diimpikan.

Semoga ALLAH menganugerahkanku kesabaran dan ketabahan para rasul dan auliya^.