الخميس، نيسان ١٢، ٢٠٠٧

Satu Pandangan

BismiLLahiRRahmaniRRahim..

Dakwah kepada Islam (Ad-Da’wah Ilal Islam) merupakan suatu kefardhuan yang dilupakan. Kebanyakan umat Islam hari ini melupai tanggungjawab ini. Ia menjadi suatu kerja yang amat penting pada saat ini, apabila kedaulatan Islam disanggah, syariat Islam tidak ditegakkan. Manusia semakin melupai PenciptaNya. Semakin jahil dan jauh daripada kebenaran.

Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata: “Sungguh, aku termasuk oramg-orang muslim (yang berserah diri)?”
(Fussilat 41:33)

Katakanlah (Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku, megajak (kamu) kepada Allah dengan yakin, Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik.”
(Yusuf 12:108)

Para da’ie ilaLLAh dituntut melaksanakan kerja-kerja ini secara jama’ie (‘amal jama’ie).

Dan hendaklah ada di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.
(Ali ‘Imran 3:104)

..Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan...
(Al-Maidah 5:2)

Musuh-musuh Islam pada hari ini berbondong-bondong, bekerja siang malam, untuk merosakkan Islam serta penganutnya. Mereka bekerja bersungguh-sungguh di atas desakan duniawi dan hawa nafsu.

Bagaimana pula ummat Islam? Sedarkah mereka semua ini? Adakah golongan manusia yang menganggap dirinya da’ie, yang masih bercakaran sesama sendiri, sedar akan situasi ini? Cuba kita renungkan. Lihat dengan mata hati. Fikir dengan tenang. Rasainya dengan perasaan kasih-sayang kerana Allah.

Sekarang kita lihat pada skop yang agak kecil, tanah air kita Malaysia - bagi muslim tanah airnya semua tanah yang berpijak padanya muslim. Alhamdulillah, Allah masih campakkan di dalam hati orang-orang kita peraasan sayang kepada Islam. Mereka – moga kita tergolong daripada mereka – bekerja untuk mengajak manusia kepada Islam. Maka wujudlah berbagai organisasi. Kepelbagaian organisasi ini telah memberikan suatu kesan yang agak ketara dalam medan dakwah Malaysia. Daripadanya lahirlah perbezaan pendapat dalam sesuatu perkara, tindakan dan pendirian. Keadaan ini berlaku hasil dari perbezaan tahap keilmuan dan kefahaman di dalam sesuatu perkara. Ia juga lahir dari fitrah manusia yang diciptakan berbeza-beza serta serba kekurangan.

Inilah ujian buat kita. Kepelbagaian organisasi ini menjadi suatu yang indah apabila wujunya sikap hormat-menghormati atas dasar keimanan dan kasih-sayang. Ia ni’mat apabila sikap saling bantu-membantu, lengkap-melengkapi, nasihat-menasihati atas dasar ISLAM menjadi amalan anggota-anggota, pendiri-pendiri, serta kader-kader da’wah.

Sikap ini lahir melalui keimanan yang jitu, keikhlasan yang tulen serta kefahaman dan ilmu yang benar berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Wahai orang-orang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulil amri (pemegang kuasa) di antar kamu. Kemudian, jika kamu berbeda pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu, lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.
(An-Nisa 4:59)

Sememangnya kita mengimpikan kesatuan ummat Islam di bawah kepimpinan yang satu. Keadaan tidak akan wujud selagi kita tidak mengamalkan sikap yang dituntut ini. Oleh yang demikian, marilah kita berusaha mendalami, mengkaji dan memahami Al-Quran dan As-Sunnah, serta ilmu-ilmu keislaman yang lain. Di samping kita tuluskan niat dan beramal dengan ilmu-ilmu ini. Mudah-mudahan Allah Subahanahu wa ta’ala menyatukan hati-hati kita, apabila kita bergantung dan sentiasa berhubung denganNya, mengingatiNya tanpa jemu, tak putus-putus memohon Rahmah dan RedhoNya. Kita selamilah Do’a Rabitah. Kita membacanya dengan mengingati saudara-saudara kita di seluruh pelusuk dunia.

Wallahu a’lam.