الجمعة، آب 24، 2007

Hubungan Dengan Allah (HDA)

Bismillahir rahmanir rahim...

Assalamu'alaikum buat semua saudara-saudaraku se'aqeedah...

Segala rasa syukur kehadrat Ilahi di atas anugerahNya yang tidak terhitung bilangannya. Ni'mat terus dicurahkan walaupun hamba ini sering mengingkari suruhan dan laranganNya. Hati tidak pernah henti berbolak-balik. Sering sahaja ia menoleh ke kiri, sedangkan tarikan yang mempesonakan itu hanyalah fatamorgana. Tetapi Dia memang sayang dan kasih kepada hamba ini. Keinsafan untuk berubah kerap hadir menyapa hati yang leka. Alhamdulillah, semoga keinsafan dan kesedaran ini terus bersemi di sanubari. Lalu muncul buah-buah keimanan yang memukau dan menggugah jiwa. Lantas merubah realiti dunia. Ini bukan angan-angan. Tetapi impian dan cita-cita yang terbukti telah menjadi kenyataan.

Selawat dan salam ke atas Rasul Sallahu 'alaihi wasallam tercinta, yang telah menabur benih-benih keimanan yang subur. Ia membesar lalu berkembang biak dengan begitu banyak tanpa mengenal penat dan lelah. Semoga kita bersama kekasih Allah di dalam meneladani baginda dalam setiap tindakan, tingkah laku dan gaya hidupnya.

Saudaraku,

Benarkah kita seorang mukmin? Sedangkan kita tidak mengendahkan diri kita yang sentiasa di bawah pemerhatian Tuhan kita.

Benarkah kita takut akan diseksa? Tatkala kita seronok mengingkari perintahNya yang berupa suruhan dan larangan?

Benarkah kita mengharapkan rahmat dan redhaNya? Walhal kita sibuk dengan kegiatan duniawi yang menghalang, melalaikan serta menjauhkan kita daripada kekhusyu'kan solat.

Benarkah kita mencintaiNya sepenuh jiwa raga? Sedangkan kita masih kedekut lagi maha bakhil untuk mengorbankan dan menyerahkan masa, tenaga dan harta kita di jalanNya. Bukankah cinta itu buta?

Di manakah rasa khauf (takut), rajaa (pengaharapan), serta hubb (cinta) yang sering kau dengari dan ungkapkan dalam bicaramu?

Diri ini bukanlah insan yang terbaik. Peringatan ini untuk mendorong diri ini serta teman-teman yang membaca agar merenung diri, melihat kesilapan dan kesalahan masa lalu, mengenal potensi diri serta mengetahui musuh-musuh dan cabaran-cabaran yang menghalang perjalanan menemui redhaNya. Mudah-mudahan kita sentiasa istiqamah dan thabat di atas jalan menuju kematian, yang hakikatnya suatu keabadian. Jadilah pendokong, bukan sekadar penyokong. Rebutlah peluang untuk beramal selagi mana hayat ini. Jangan biarkan diri menemuiNya dalam keadaan papa kedana.

Ya Allah, kami tahu diri kami lemah. Maka kau berikanlah kekuatan kepada kami dalam mencari redhaMu.

Wallahu musta'aan.