الأربعاء، نيسان 30، 2008

PeRsOaLaN

Alhamdulillah.

Wassolatu wassalamu 'ala rasululillah.

Wa ba'du,


Sudah sekian lama meniti kehidupan. Sejauh manakah perjalanan kita? Adakah kita telah berada di atas landasan yang sepatutnya, untuk sampai kepada matlamat yang sebenar. Matlamat yang hakiki, iaitu mardhotillah. Adakah kita berada di atas landasan yang betul? Gerabak yang benar? Adakah gerabak rombongan menuju Allah ini sedang bergerak atau ia terhenti? Atau kita masih lagi berada di luar, sambil memerhatikan gerabak kebenaran ini berjalan dan terus bergerak?

Persoalan demi persoalan.


Carilah jawapan yang bisa menjawab persoalan-persoalan yang timbul. Carilah pada sumber yang benar. Malu bertanya sesat jalan. Apa yang penting, manusia itu mencari dan terus mencari jawapan kepada persoalan-persolan kehidupan.

Moga bertemu jawapan.

Wassalam.


الأربعاء، آذار 26، 2008

HaKiKaT KeHiDuPaN (I)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Alhamdulillah, puji dan syukur yang tidak terhingga kehadrat Allah Subhanahu wa ta'ala yang telah mengurniakan ni'mat yang tidak terhingga buat kita. Ni'mat Iman dan Islam ini amat besar nilainya di sini hamba-hambaNya yang memahami hakikat kehidupan. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam, keluarga serta para sahabat. Tidak lupa juga buat mereka yang telah mengorbankan kehidupan mereka untuk menegakkan kalimah Tauhid di bumi Allah ini.

Kehidupan di bumi Allah ini merupakan ujian yang berterusan. Kita sebagai manusia sering diuji dengan pelbagai cubaan, ujian, mehnah, tribulasi, yang sering menyerang tanpa henti. Itulah kehidupan. Hidup di muka bumi ini untuk mencari redha Allah, menggapai kedamaian yang abadi bersama orang-orang yang dicintai di alam sana nanti.

Cuba kita bayangkan keindahan, kedamaian, keseronokan di jannah yang tidak dapat digambarkan dek akal. Kita tinggal bersama dengan orang-orang yang soleh. Menziarahi para rasul dan anbiyaa. Bersenang-lenang di atas tilam yang empuk. Minuman dan makanan yang amat lazat yang tidak akan bias kita kecapi di dunia ini. Tiada apa-apa lagi yang merunsingkan fikiran kita. Tenang. Damai…

Semua ini tidak akan bisa kita kecapi, selagi ruh ini masih di jasad. Aqal ini masih berfikir. Jantung masih berdegup. Kehidupan masih belum terhenti. Kehidupan yang bermakna, yang berlandaskan tuntutan Islam. Hidup dengan Islam. Barulah matinya nanti dengan Islam, insyaAllah. Seperti yang disebutkan sebelum ini, kehidupan sebagai muslim di atas muka bumi ini bukan suatu yang mudah. Ia adalah kehidupan yang penuh dengan ujian. Sebenarnya, kesusahan atau kesenangan itu merupakan ujian buat kita. Jangan fikir suatu yang senang itu bukan suatu ujian. Barangkali ujian kesenangan dan kemewahan itu lebih hebat dan berat! Berapa ramai insan yang suatu ketika dahulu merupakan pejuang yang melaungkan kalimah Allah, mengajak manusia kepada Allah, tetapi hari ini mereka tidak lagi sedemikian?! Inilah kehidupan.

Marilah kita sama-sama menghayati ayat-ayat Allah, mentadabburnya, kita kaitkannya dengan kehidupan kita. Kita tidak boleh sekadar membaca, tetapi perlu kepada tadabbur. Carilah pembimbing yang dapat membimbing kita ke jalan Allah, yang menyelamatkan kita dari kegelapan jahiliyyah dan maksiat. Mohonlah kepadaNya, agar memberi kita petunjuk, hidayah, serta kekuatan untuk meneruskan kehidupan sehingga kita bertemu denganNya dalam keadaan penuh kegirangan...