Assalamu'alaikum waramatullahi wabarakatuh...
Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah sekalian...
Alhamdulillah, Allah memberi kita ni'mat yang tak terhingga dan tak terhitung oleh 'aqal manusia. Alhamdulillah, Allah beri kita peluang untuk terus bersama Islam dan Iman yang telah dianugerahkan kepada kita. kita masih dihidupkan dalam keadaan kita masih beriman kepada Allah SWT. Semua ni'mat yang diberikan kepada kita, semuanya untuk kebaikan diri kita. Ni'mat ini semua tak mendatangkan sebarang faedah pun kepada Zat Allah SWT. Jika kita menyukuri ni'mat Allah, maka kita yang mendapat ganjaran bersyukur tersebut. Ganjaran tersebut kembali kepada kita. Begitu sayangnya Allah kepada kita. Dilimpahkan kepada kita ni'mat yang banyak. Kemudian kita dihujani dengan ganjaran dunia dan akhirat apabila mensyukuri ni'mmat tersebut dengan meng'abdikan diri kepada Allah semata-mata. Hakikatnya kita amat berhajatkan kepada kasih Allah, rahmatNya, hidayahNya, redhaNya, 'inayahNya dan mendambakan segala-galanya daripada Rabbil 'Izzah.
Jika anda menganggap dengan penuh keyakinan bahawa anda adalah da'eyan IlaLLAh, maka menjadi suatu keperluan dan kewajipan untuk sentiasa memastikan diri sentiasa berada di bawah naungan Al-Quran, KalamuLLah.
Mari kita lihat generasi sahabat yang begitu hebat, yang begitu unik, mendapat pujian langit dan bumi. Allah rafa'kan martabat mereka di kalangan manusia sekalian 'alam di atas pengorbanan dan kerja-kerja serta sumbangan yang telah mereka hulurkan untuk deen Allah yang suci ini. Mengapakah mereka sampai ke tahap ini? Sehingga mereka sentiasa disebut setiap insan yang membaca Al-Quran, walaupun insan yang membaca itu tidak mengerti isi kandungan yang dibacanya itu. Mengapa mereka darjat mereka begitu tinggi berbanding kita kita beradah di anak tangga yang terbawah ?! Persoalan ini pasti timbul di benak jiwa muslim yang sensitif dengan deennya, yang sentiasa mengejar ma'a~li (ketinggian), yang berlumba-lumba menggapai cinta Allah.
Hakikatnya mereka sampai ke tahap ini di atas beberapa perkara yang tersirat dan tersurat. Ciri-ciri keistimewaan tersebut ialah:
1. Mereka mengambil dan menerima Al-Quran daripada Rasulullah SAW secara langsung (direct). Jadi al-quran turun dalam kehidupan mereka. Turun untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Rasulullah SAW juga berada di hadapan mata kepala mereka sebagai tempat rujukan. Berbanding dengan kita, tiada lagi Rasul sebagai tempat mengadu masalah. Yang ada hanyalah khazanah sabda baginda serta Firman Yang Maha Esa. Maka, menjadi kewajiban kita mengambil Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber rujukan dan nadi kehidupan.
2. Mereka mengamalkan segala pelajaran yang mereka terima daripada Rasulullah SAW satu persatu sehingga tertunai segala tuntutan ilmu tersebut dengan amalan mereka. Walaupun peringatan yang mereka terima daripada Al-Quran atau daripada Rasulullah SAW itu hanya dua tiga patah perkataan, mereka ber'amal dengannya. Cuba lihat diri kita? Adakah kita beramal dengan ilmu yang kita pelajari? Sedarkah kita, salah satu tuntutan ilmu ke atas kita ialah amal!
3. Apabila mereka menerima NuruLLAh, deen Islam sebagai cara hidup@way of life, mereka tinggal segala karat jahiliyyah di belakang mereka. Tidak lagi menoleh ke belakang, teragak-agak untuk meninggalkannya kerana rasa sayang kepada jahiliyyah tersebut. Bahkan mereka membencinya umpama perasaan membenci diri jika dilontarkan ke dalam neraka. Benci yang teramat. Tak tergambar kebenciannya dek kerutan seribu di muka. Andai berkerut sejuta pun takkan terbayang betapa dalamnya kebencian di lubuk hati. Kita pula masih bermanis muka dengan jahiliyyah, sayang tak terkata. Kalau boleh dipeluk dan dicium jahiliyyah itu, nescaya dipeluk dan dicium tak terkata. Beginikah muslim?
4. Mereka tidak bertolak ansur dengan kebatilan. Aqidah LailaillaLLAh terpahat di sanubari, terpancar di pelusuk tubuh. Takkan mampu batil menggoncang kekukuhan pasak iman mereka. Tidak bersekutu dengan kebatilan. Bertuhankan Yang Esa, bukan yang punya anak dan bapa. Tidak bertuhankan toghut, kerna ketaatan pada toghut satu kesyirikan. Hawa nafsu juga bukan ikutan. Kita pula sering mengambil jalan tengah dengan mencampurkan kedua-duanya, yang hakikatnya tidak boleh dicampurkan. Hakikatnya kita telah membelakangi hak atau kebenaran itu.
Berdasarkan ciri-ciri ini atau sifat-sifat ini, kita perlu kembali muhasabah diri. Mengingatkan kembali hakikat kebenaran dan hakikat pembawa kebenaran. Kembalilah kepada Allah. Jaga Hubungan Dengan Allah (HDA). Amal Kerana Allah (AKA).
Wallahu a'lam...
ليست هناك تعليقات:
إرسال تعليق